fikirzikirfikrahtazkirah

fikirzikirfikrahtazkirah

8/26/12

Ramainya saudara "dia"...

Ramadhan 1433


Dengan suka cita nya, diumumkan bahawasanya Muhammad Rusyaidi bin Mohd Pauzi, telah dilantik sebagai seorang pekerja di Madrasah al-Mujahideen, Ipoh, Perak sebagai seorang "tukang kemas selepas Iftar" di bawah penyeliaan seorang pakcik yang juga pemilik kepada sebuah katering yang menyediakan makanan iftar untuk madrasah berkenaan. Kontrak ditandatangani adalah untuk bekerja sepanjang bulan Ramadhan, bersama 3 orang lagi sahabat yang lain, rakan sekerja lah kiranya.

ini tipu saja, bukan macam ini.hehe.

Hari pertama : 

Baiklah, sudah excited mahu bekerja, beramal di bulan yang mulia ini, maklumlah pahalanya berlipat kali dan berganda-ganda. Kami bertolak ke madrasah berkenaan menaiki kereta kancil milik salah seorang daripada kami, sebelum azan maghrib kami sampai dan ambil tempat duduk untuk sama-sama berbuka puasa, sementara menunggu muazzin melaungkan azan, eloklah kami mengisi masa lapang dengan berdoa dan meminta kepada Allah, sedangkan doa orang yang berpuasa itu sangatlah mustajab.

Allahu akbar,Allahu akbar~!


Dengar sahaja laungan azan, terus dibaca doa berbuka puasa, lantas mencapai sebiji kurma yang telah pun dihidangkan,kemudian meneguk beberapa tegukan air sirap. Nasi?? Oh tidak, peraturan di madrasah ini, makanan berat hanya boleh di jamah selepas solat maghrib berjemaah dilaksanakan, tak perlu kecewa, baguslah macam itu.

Seusai solat jemaah, sesiapa yang tahap kesabarannya tinggi bolehlah melaksanakan solat nafilah ba'diah maghrib, siapa yang tahap kesabarannya kureng sikit, atau mungkin ada urusan lain yang tidak boleh di lambat-lambatkan, bolehlah berpusu-pusu menuju ke meja makan untuk menyantap nasi pula. Wajah setiap jemaah nampaknya sangat berpuas hati dengan kualiti makanan yang disediakan di madrasah tersebut, yalah kan, catering yang sediakan. Saya pun tidak melepaskan peluang, alang-alang bekerja di sini, apa salahnya kami pekerja makan sekali.

Selesai menjamu selera, sedikit demi sedikit jemaah menghilangkan diri dari meja makan, yang tinggal di atas meja hanyalah pinggan-pinggan, mangkuk,cawan, sisa-sisa makanan mereka berupa tulang dan sebagainya. Maka bermulalah tugas kami sebagai tukang kemas untuk settle kan tinggalan-tinggalan mereka tersebut. Tapi ini hari pertama kami, jadi kami agak kekok lah, tak tahu apa nak buat. Jadi pakcik katering itulah yang memberi tunjuk ajar kepada kami.

Tugas kami :

  • Angkat pinggan,mangkuk,sisa dan sebagainya itu dan kumpulkan ke dalam besen, yang telah disediakan of course.

  • Susunkan mengikut jenis, kalau pinggan, pinggan sahaja, kalau sisa ke dalam tong sampah, cawan ada tempatnya.

  • Lap meja supaya tidak ada kesan kuah atau kotoran-kotoran lain yang terhasil daripada cara makan orang yang tak pandai makan dengan baik. Kalau lantai kotor pun kami kena bersihkan. 

  • Angkat pinggan-pinggan kotor tersebut ke tempat basuh, agak berat sebenarnya, bayangkan pinggan kaca, bukannya sekeping dua, bertingkat-tingkat.


Alhamdulillah, senang sahaja, kan? itu lah sahaja kerja kami yang diulang-ulang setiap kali selepas berbuka puasa sepanjang bulan Ramadhan di Ipoh ini.

Tapi bukan itu yang nak di highlight kan, di sebalik kesenangan tersebut ada sesuatu yang tersembunyi, bak kata orang tua-tua dulu "ada udang di sebalik mee, ada kerang di sebalik kuey tiau".(betul ke eja kuey tiau macam tu?)

Sedang saya mengemaskan satu meja, kelihatan ada banyak makanan yang masih belum berusik lagi. Biasanya makanan-makanan yang orang kebanyakan kurang gemar, contoh macam sayur taugeh, tauhu sambal, kuih pulut,ikan-ikanan dan sebagainya yang ramai orang tak suka, memang selalu banyak tak habis. Kalau lauk macam ayam goreng, ayam kurma, ayam masak merah, daging kari selalunya habis, licin. Tapi tiap-tiap hari pasti ada makanan yang tidak habis dimakan, sama ada dimakan separuh kemudian tinggal, atau tidak berusik langsung.


Getus hati, "apa nak buat dengan makanan ini? buang??"

Kalau yang tidak berusik langsung itu boleh tahan kiralah kalau saya sendiri yang usikkan. Tapi kalau yang dah diusik kemudian tinggal itu... macam kebanyakan orang, saya juga rasa jijik nak usik kembali benda yang telah diusik oleh orang yang tidak dikenali. Secara jujurnya, kami pekerja memang sangat kenyang ketika bekerja kerana ada saja benda yang nak dimasukkan kedalam mulut ketika bekerja. Tapi perut kami kecil, juga ada hadnya, takkan setiap makanan lebih itu kami mahu baham, kan? Hehe.

Jadi fikiran saya yang kurang waras ini menyatakan membuang makanan-makanan tersebut merupakan satu opsyen yang paling bijak pada ketika itu. Namun  apabila terbayangkan wajah-wajah saudara kita di Somalia, Afrika yang kebuluran akibat krisis makanan, dalam hati masih ada rasa sayang pada makanan-makanan yang masih elok berkenaan. Tak ada cara lain ke? Tiba-tiba pakcik katering memberikan arahan, kalau sekiranya ada makanan lebih kita kumpulkan, lepas ini siapa nak boleh lah ambil, yang kuih-kuih boleh dijadikan makanan untuk moreh selepas tarawih. Alhamdulillah idea yang bijak dari pihak majikan. Kami pun menurut. "Okay boss!".


Namun, seolah-olah telah menjadi fitrah dunia, bahawa yang tidak laku tetap akan tidak laku. Masih banyak lebihan makanan, ada lah juga jemaah yang ambil bawa balik rumah, tapi sedikit atau banyak, masih ada lebihan. Maka tidak boleh tidak, membuang merupakan alternatif terakhir yang harus digunakan. Tetapi nasib sebahagian lauk-pauk lebihan itu baik, kami pekerja 4 orang bersetuju untuk bawa mereka balik ke asrama untuk dijadikan makanan sahur esok, tapi tidak semualah, ada jugak yang habis riwayatnya sebagai makanan kepada manusia di dalam tong sampah, menjadi makanan kepada semut-semut, kulat dan bakteria pula.

Yang sedihnya, esok pagi bangun untuk bersahur pun, masih ada juga makanan yang tidak habis dijamah oleh kami. Terpaksalah juga dicampakkan ke dalam tong sampah. Inna lillah wa inaa ilaihi roji'un.

Kadang-kadang bekerja di sini rasa bersalah pun ada, bukannya rasa bersalah kerana kerja tersebut tidak baik atau kerana melakukan kerja jahat, tapi sebabnya adalah banyak sangat lebihan makanan, lepas itu tak tahu nak buat apa dengan nya, nak makan kami dah kenyang, nak beri kepada para jemaah ramai di antara mereka tak mahu, sehingga akhirnya terpaksa meletakkan makanan-makanan tersebut ke dalam tong hitam yang busuk. Amalan tersebut sebenarnya sangat lah MEMBAZIR. Pembaziran yang jelas, dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia.

Membazir??



إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

"Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan adalah sangat kufur kepada tuhannya"
(Surah al-Isra' : 27)

Jelas kan ayat al-Quran tersebut? 

Di sini saya nak berikan satu analogi, cuba kita bayangkan, sepasang kekasih, yang sangat romantik, saling mengasihi, saling menyayangi, saling manja memanjai, cinta mencintai dan sebagainya. Akhirnya membina maghligai cinta, berkahwin lah maknanya. Tidak lama kemudian si isteri mengandung, maka bertambah utuh dan mapan lah kasih dan cinta mereka berdua, 9 bulan berlalu si isteri pun melahirkan seorang bayi yang sangat comel,sempurna, 3.15kg.

Masa kian berlalu, tahun demi tahun (malas mahu cerita panjang), akhirnya pasangan tersebut melahirkan 11 orang anak, yang lelakinya segak dan sasa, yang perempuannya pula ayu dan comey. Senang cerita sempurna lah segalanya. Pasti makin kukuhlah perasaan cinta suami isteri tadi.

Kemudian beberapa belas tahun kemudian, anak-anak mereka pula semuanya telah berkahwin dengan pasangan masing-masing dan tiap-tiap pasangan telah melahirkan sekurang-kurangnya 9 orang cahaya mata. Makin berkembang besarlah keluarga suami isteri yang pertama tadi. Pasti makin gembiralah hati mereka dan makin kukuh lah cinta antara mereka dek kerana kelahiran cucu-cucu baru mereka. Bahagia lah hidup mereka, senanglah hati mereka ada sebuah keluarga yang besar.

Tanya diri kita, suka kah kita jikalau sekiranya kita mempunyai sebuah keluarga yang besar dan hebat? suka kan? suka lah tu, jangan tipu.

Begitulah keadaannya dengan sang durjana syaitan-syaitan, sudahlah memang golongan mereka sangat ramai, ditambah pula dengan "saudara-saudara baru" dari kalangan manusia, bertambah happy lah hati syaitan-syaitan tersebut. Bersorak-sorak dan bertempiklah mereka kerana sangat gembira. Bukannya mereka mendapat sepupu, pakcik, datuk, atau bau-bau bacang sahaja, tetapi mereka mendapat SAUDARA, al-akh, senang kata, adik beradik. Siapa tak happy dapat adik baru, kan?

Siapakah saudara syaitan dari kalangan manusia??


Berdasarkan ayat al-Quran, surah al-Isra' ayat 27 tadi, jelas menyatakan bahawa orang-orang yang membazir adalah saudara syaitan. Orang ya, bukannya haiwan atau ikan, ORANG. Senang-senang saja kita dapat saudara baru kan? tak perlu apa-apa upacara pelantikan apa pun. Ketahuilah, bahawasanya syaitan-syaitan itu sangat suka apabila saudara mereka bertambah ramai.

Persoalannya, adakah kita juga turut suka menggembirakan mereka?? Sedangkan telah jelas dalam al-Quran bahawa syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kita, bukannya saudara, tidak!

Syaitan itu musuh yang nyata, bukannya saudara.


Saya tertarik dengan satu selingan yang diberikan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (saifulislam.blogspot.com), seorang da'ie dan juga seorang penulis yang sangat saya hormati di dalam buku "panas" beliau yang bertajuk "Aku terima nikahnya"(panas tau tajuknya :p).


Dalam bukunya beliau ada menyatakan bahawa orang kampung dulu-dulu, sangat suka pelihara kucing.

Kenapa??

Kerana memelihara kucing membawa berkat. 

"Eh? apakah ini? bid'ah hasanah ke?? ada ke hadis atau ayat al-Quran tentang pelihara kucing itu berkat!? tak ada kan!? jangan pandai-pandai buat hukum sendiri!!"

Ya, memang tak ada, tapi cuba kita teliti betul-betul. Orang kampung dulu-dulu bila ada lebihan atau sisa makanan, mana lah nak dicampakkannya?? jadi untunglah mereka yang ada memelihara kucing. Mudah sahaja, letakkan sahaja sisa makanan di hadapan beliau, beliau pasti me'ngap'nya tanpa perlu berfikir panjang. Nampak? jadi sebenarnya mereka telah terlepas daripada sifat membazir, sangat berbeza dengan orang yang hanya mencampakkan lebihan yang masih elok dan sisa-sisa makanan ke dalam tong sampah sehingga berbau menusuk kalbu dan menunggu sehingga lori sampah datang kutip. Seolah-olah mereka yang ada memelihara kucing ini telah membuka satu pintu atau jalan keluar daripada amalan buruk yang akan menjadikan mereka saudara kepada musuh yang nyata secara automatik.

Jangan membazir!!


Membazir tidak terikat kepada makanan semata, banyak lagi perkara yang boleh menjadi bahan pembaziran. Antaranya wang, harta, masa, tenaga, umur, hidup, cinta, pemikiran dan sebagainya. Cubalah sedaya upaya kita untuk mengelakkan diri kita daripada terjebak dalam wabak pembaziran ini.

Imam syafi'e telah memberikan ta'rif kepada membazir ialah membelanjakan sesuatu bukan pada jalan kebenaran. Maksudnya berbelanja di jalan maksiat, sia-sia, kerosakan dan lain-lain yang buruk.

Contoh:
  • Pergi disco minum arak dan berjoget = Maksiat, membazir!

  • Hisap rokok = Sia-sia, membazir!!

  • Menonton cerita korea terlalu lama = Buang masa, membazir!!!

  • Beli hadiah untuk "kekasih haram" = Membazir!!

  • Mengajak orang melakukan maksiat = Membazir!!!
Ini lah dia hakikat pembaziran, sangat luas sebenarnya. Oleh itu sahabat jauhilah sifat membazir. Manfaat kan setiap apa yang telah dikurniakan kepada kita olehNya dengan sebaiknya.

Muhasabah kembali diri kita, berapa ramai yang telah menjelmakan dirinya sendiri sebagai "saudara" kepada syaitan, sama ada sedar atau tidak ramai orang yang telah mempersaudarakan diri mereka kepada yang sepatutnya menjadi musuh yang nyata bagi mereka. Bukti?? lihatlah sekeliling kita, lagi-lagi dalam suasana kita yang masih lagi dalam "mood raya". Jadilah seorang pemerhati, open your eyes, and your mind, think and do something. Na'uzubillah min dzalik, ramainya saudara dia...

Dia memberi kita segala, tidak bermakna dia mahu kita gunakan sewenangnya, Dia hanya mahu menguji, sama ada kita syukur, atau kufur. Dan barangsiapa yang syukur maka itu adalah untuk dirinya sendiri, dan siapa yang kufur pula maka kekafirannya adalah ke atas diri mereka sendiri, dan azab Allah itu sangatlah pedih.

" Jadikan musuh yang nyata itu sebenar-benar musuh, jangan sampai kita pula yang dia jadikan saudara."

Wallahu a'lam,
Wassalam.

p/s : Ramadhan tahun ini merupakan ramadhan yang paling mencabar setakat ini, tiap-tiap hari berbuka di masjid/surau macam anak bujang betul dah, haha. Kemudian peperiksaan percubaan sepanjang 3 minggu dalam bulan ramadhan. Dan terakhir sekali inilah, pengalaman bekerja sebagai seorang tukang kemas professional. Seperti biasa kalau ada apa-apa salah dan silap, jangan malu untuk tegur. Oh lupa pulak, masih belum terlambat kot untuk saya ucapkan selamat hari raya , Taqabballahu minna waminkum, maaf zahir dan batin andai ada salah dan khilaf  :)

2 comments:

  1. Wahh! Rajin yea adik bekerja. Teruskan usaha!

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe, alhamdulillah, saja cari pengalaman sambil-sambil mencari duit raya :)

      Delete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...