fikirzikirfikrahtazkirah

fikirzikirfikrahtazkirah

9/23/12

With Sheikh Al-Aqsa, Sheikh Raed Solah

















* tett...tett...* (message alert tone)

"assalam, nak jaga booth Aman Palestin tak?"

"wassalam, hmm bila tu? siapa lagi?"

"esok ar, nak 3 orang, baru ana sorang, kalau anta ajak akram, cukup ar 3"

"bersedia berkhidmat untuk palestin :)"

"haha, ajak akram ea"

"inshaAllah"

Keesokan harinya,12 September 2012.


Awal pagi lagi, seawal pukul 8.00 pagi kami dah gerak ke perkarangan dewan Institut Tadbiran Islam (INTIM), Ipoh, dengan kereta. Kelihatan Faris, dia yang mengajak semalam untuk menjaga booth, sedang sibuk menyiapkan dan menyusun meja untuk meletakkan barangan jualan dan bahan pameran. Terdapat juga beberapa bahan pameran berupa bunting yang masih tersimpan di dalam begnya, belum dikeluarkan.

"Assalamualaikum, maaf lambat sikit, pukul berapa enta sampai tadi?" sapaku kepada Faris sambil aku mencapai vest Aman Palestin yang disediakan untuk para sukarelawan yang menjaga booth pada hari tersebut.

"Wa'alaikumussalam, lama dah jugak, lepas subuh tadi terus gerak." jawab beliau.

"Ohh." jawabku ringkas. Tanpa membuang masa terus menyarung vest dan membantu beliau menyiapkan meja dan menyusun bahan-bahan di atasnya. Ini bukan pertama kali kami buat kerja ini, jadi kami sudah agak terbiasa dan tahu nak buat apa. Cuma ada barang-barang yang perlu direfreshkan kembali harganya, takut tersilap ketak harga pulak nanti.

"Cepat sikit, dah pukul berapa ni, 8.45 VIP nak sampai." tegur seorang yang saya agak selalu nampak mukanya, tapi tak berapa nak kenal. Mungkin salah seorang urusetia untuk program Konvensyen Selamatkan al-Aqsa dari Ancaman Zionis (KOSMAZ 20012) yang akan bermula sebentar sahaja lagi. Dan VIP yang paling VIP sekali untuk program kali ini adalah Sheikh Al-Aqsa, Sheikh Raed Solah, yang merupakan Pergerakan Islam Palestin 1948, dan dia juga merupakan orang yang paling awal menemukan aktiviti gali menggali yang dilakukan di bawah Masjid Aqsa.

tak pasti adakah ini beliau, nampak macam beliau, waktu muda mungkin...

Tidak lama kemudian, Alhamdulillah, siap tersedia segalanya, bahan pameran, bahan jualan, tabung infaq untuk Palestin. Sekarang tugas kami hanya duduk berdekatan dengan booth berkenaan, menjaga sambil menunggu kalau-kalau ada orang yang hendak membeli barangan cenderahati Aman Palestin atau buku-buku ilmiah yang ada. Kami semua diberi tag nama selaku urusetia untuk program tersebut, dengan bangganya saya memakainya. Faris yang dari selepas subuh tadi sudah ada di sini meminta diri untuk pulang ke asrama dulu, nak mandi katanya. Kantoi lah tak mandi lagi, patut lah lepas subuh terus gerak, haha.

Beberapa minit kemudian, datang sebuah MPV Alphard berwarna putih, berhenti bedekatan dengan dewan.. Saya difahamkan itulah kereta VIP. Setelah kereta tersebut berhenti, beramai-ramai orang menuju ke arahnya sambil bersedia dengan kamera masing-masing. Sejurus pintu terbuka, kelihatan sebatang tubuh yang agak tegap turun dari kenderaan berkenaan, kemudian diikuti pula oleh beberapa orang lain yang berpakaian kemas. Mereka dijemput dengan tangan terbuka oleh Ustaz Shaharuzzaman Bistamam, selaku Pengerusi Aman Palestin Perak menuju ke bilik VIP. Segalanya saya lihat dari jarak yang agak jauh, dari Booth Aman Palestin yang saya diamanahkan untuk menjaganya.


Program berlangsung dari pagi, 8.45, sehinggalah ke petang pukul 4.30. Dan sepanjang program saya terpaksa duduk di luar dewan, menjaga booth dan gerai, hanya sesekali, tidak sampai 10 minit saya curi-curi masuk ke dalam dewan yang berair-cond. Pergh, memang dari luar dewan tak dapat dengar apa-apa, dewannya kedap bunyi, pintunya pula semua tertutup. Arghh...tak dapat join mereka di dalam, tentu banyak cebisan-cebisan mutiara yang mereka dapat kutip dari tokoh-tokoh perjuangan dari Palestin dan Malaysia yang hebat. Tapi apakan daya... amanah yang diberi lebih berat dari Gunung Mauna Kea. Duduk di luar dewan saja lah jawabnya.


Demikianlah sehingga program sampai ke penghujungnya, Alhamdulillah habis...boleh relaks? Tidak. Sekarang kena kemas pulak segala bagai meja dan bahan pameran ini. Warghh penat tahu tak! haha. Sedang-sedang mengemas tu, tiba-tiba ternampak beberapa orang dalam dewan, sedang bergambar dengan Sheikh Raed Solah, ada yang beramai-ramai, ada yang ambil gambar berdua sahaja. Muncul pula perasaan cemburu dalam hati kecil ini, "aku pun nak ambil gambar dengan Sheikh!" tapi bila tengok di depan ada barang-barang yang masih banyak belum dikemas, terpaksa matikan niat tersebut. T.T

"Syai, jom ambil gambar dengan Sheikh." Kata seorang member sambil memegang kamera DSLRnya.

Terdiam sebentar...orang dah offer ni. Bagai bulan jatuh ke riba, pucuk dicita ulam mendatang, bagai orang mengantuk disorongkan bantal.

"Takpa lah, enta pergilah, ana ada kerja lah." berat mulut untuk mengungkapkan kata-kata ini.

Secara jujurnya, memang sangat nak pergi.

Terus melakukan kerja tanpa tangguh, sedang saya mengemas salah satu bahan pameran yang diletakkan berdekatan kereta VIP, tiba-tiba ternampak rombongan Sheikh sedang menuju ke arah kereta.

"Assalamualaikum." Sheikh menyapa, diikuti pula oleh pengiring-pengiring beliau yang juga dari Palestin. Satu-satu memberi salam.

Saya tersenyum sambil menjawab salam-salam mereka satu persatu, tetapi tangan saya penuh dengan barangan, tak dapat pula bersalam dengan mereka. Kelihatan Muawwidz, salah seorang Vokalis utama untuk kumpulan nasyid Fetya bersama mereka. Rupanya beliau bertugas sebagai Driver kepada rombongan Sheikh Raed Solah. Tidak lama kemudian mereka semua masuk ke dalam kenderaan Alphard dan pintu ditutup.


Kerja hampir siap, last touch saja tinggal, nak kemas sikit-sikit saja lagi. Alhamdulillah, dengan bantuan kawan-kawan yang lain yang tidak lokek menolong kami. Laju saja kerja siap. Tiba-tiba Akhi Muhassan, pengurus Sukarelawan Aman Palestin untuk program kali ini berkata,

"Ha, Siapa nak teman Ustaz Shaharuzzaman pergi Teluk Intan? ada program lagi dengan Sheikh dekat sana."

Wah, kebetulan kami 4 orang, cukup-cukup sahaja. Tambahan pula salah seorang dari kami dah ada lesen memandu. Memang sangat terbaik. Kami terus bersetuju menjadi pengiring Ustaz Shah ke Teluk Intan.

Dengan menaiki kereta Unser milik Ustaz, perjalanan lebih kurang Sejam, kami sampai ke Teluk Intan sebelum waktu Maghrib. Ianya sebuah Masjid. Selepas Maghrib nanti akan ada sesi Ceramah oleh Sheikh Raed Solah, dan translatornya tidak lain tidak bukan adalah Ustaz Shah sendiri.

Selepas solat Maghrib, rombongan kami menunaikan pula solat Isyak secara Jama' dan Qasar. Diimamkan pula oleh Sheikh Raed Solah. Ya Allah, pengalaman ini sangat mahal,menjadi makmum kepada Sheikh al-Aqsa, dengan alunan bacaan Qur'annya. Shahdu. Selesai solat kami berehat di bahagian belakang masjid, sambil menunggu para jemaah tempatan menghasbiskan wirid dan zikir, saya mengambil kesempatan ini untuk berborak-borak dengan Ustaz Mad, salah seorang pengiring Sheikh Raed Solah sepanjang beliau berada di Malaysia, dan juga akhi Muawwidz. Kami bertaaruf dan bertukar-tukar cerita untuk lebih mengenali antara satu sama lain.

Tiba-tiba, saat para jemaah tempatan sedang berdoa, kelihatan Sheikh Raed Solah bergegas ke ruang solat utama sambil mengajak kami dengan isyarat tangannya untuk mengikuti beliau, sampai sahaja beliau ke ruang solat utama, beliau terus duduk seraya menadah tangan, mengamin kan do'a bersama-sama para jemaah tempatan. Saya agak terkejut dengan perbuatan yang beliau tunjukkan, Subhanallah.

"Itu lah, seronok kita duduk dengan ulama' ni, kita dapat tengok macam mana Akhlak dan perbuatan yang mereka tunjukkan." Kata Ustaz Mad.

Selesai berdo'a, tidak lama kemudian berdiri seorang lelaki, AJK masjid rasanya, memegang mikrofon selaku pengacara majlis untuk memulakan Majlis ilmu yang akan disampaikan oleh Sheikh Raed Solah, kelihatan ramai penduduk tempatan masuk ke ruang solat utama dan duduk untuk mendengar ceramah daripada seorang yang bukan selalu dapat hadir ke Malaysia. "Alhamdulillah ya Allah, siang tadi aku tak dapat mendengar ceramah oleh beliau, tetapi malam ini kau mengizinkan aku untuk mendengarnya. Tak akan aku sia-siakan peluang ini, Ya Allah."

Antara kisah menarik yang beliau ceritakan ialah kisah semasa  tragedi Mavi Marmara pada tanggal 31 Mei 2010. Beliau menceritakan semasa insiden berlaku, beliau ada di atas kapal tersebut. Nama beliau telah di Blacklist dan ada di dalam senarai target yang perlu dihapuskan. Memang tentera Israel tekad mahu membunuh beliau semasa insiden tersebut. Tetapi kuasa Allah melebihi segalanya, telah ditakdirkan ada seorang yang berasal dari Turki mempunyai paras wajah dan bentuk badan yang hampir serupa dengan beliau turut berada di atas kapal Mavi Marmara. Tentera Israel menyangka itulah dia musuh mereka yang dibenci, itulah dia Sheikh Raed Solah, lalu lelaki itu dibunuh, dan mayat lelaki tersebut dibawa kepada isteri beliau.

"Adakah ini beliau atau bukan?"

Soalan diajukan kepada isteri Sheikh. Ternyata ianya bukan, isterinya lebih mengenali beliau, dan dia menjawab, "Tidak.". Subhanallah, Allah selamatkan Sheikh Raed Solah. Mereka merancang, dan Allah juga merancang, dan Allah adalah sebaik-baik perancang.


Selain itu, ada lagi  beberapa kisah menarik yang belaiu ceritakan semasa program berlangsung di Teluk Intan, antaranya kisah Muhammad Ad-Durrah, seorang shahid muda dan seorang Ibu yang tekad mahu melahirkan ramai pejuang yang akan memperjuangkan Islam dan bumi Palestin yang tercinta. Sungguh, saya terharu mendengarnya. Menggetarkan jiwa dan roh jihad.

Seusai ceramah, tidak lama, cuma antara selepas maghrib sehingga pukul 9 malam. Walaupun sebentar tetapi, alhamdulillah, banyak pengisian yang boleh dipetik. Pengerusi majlis mengumumkan tentang tabung infaq yang diletakkan di tepi pintu keluar masjid. Selepas itu para jemaah tempatan menunaikan pula solat isya'. Kami sudah Jama' tadi, jadi kami hanya menunggu di dalam masjid. Sheikh sedang berkumpul di suatu sudut dengan rombongannya serama 4 orang, memang timbul niat di hati hendak tegur dan berborak-borak dengan Sheikh, tapi perasaan malu masih ada. Tangguh sahaja niat.

Selesai solat isya' dilaksanakan, ramai orang menyerbu ke arah kami, untuk bersalam dengan Sheikh Raed Solah lah, bukannya sebab apa. Ada juga yang mengambil gambar bersama Sheikh. Tiba-tiba rasa rugi pulak sebab antara kami yang mengiringi Ustaz Shah, tak ada seorang pun yang membawa kamera. Tak dapat lah nak ambil gambar lagi gamaknya. Lahh.

Selepas itu, kami terus menuju ke kereta, "nak pergi mana Ustaz?" tanya Akram, selaku driver kami. "Ikut kereta tuan imam tu, dia ajak makan nasi arab." jawab ustaz sambil tersenyum. Wah, nasi arab? Serius ini first time, mana pernah makan nasi Arab sebelum ini, orang belanja pulak tu. :)


Sampai sahaja kami ke sebuah restoran, tak ingat apa namanya. Dua meja telah disambungkan khas untuk kami, wah, dah booking rupanya. "aku nak duduk sebelah Sheikh!" getus hati. Mula-mula agak kecoh antara kami 4 orang yang mengelilingi ustaz Shah, semua nak duduk sebelah sheikh, haha. Mula-mula saya tak dapat, tapi entah macam mana, ada perubahan tempat sikit, terus laju saya menyambar kerusi sebelah Sheikh, dapat! Dengan bangganya saya duduk, mengerling ke arah kawan-kawan sambil tersenyum bangga. Hehe.

Tidak lama kemudian, sampai lah minuman, buah-buahan dan makanan utama. Nasi arabnya disediakan dalam talam dan disediakan juga pinggan-pinggan kosong untuk setiap orang. Masa untuk menjamu selera! Sheikh Raed Solah mengagihkan setiap seorang dengan sudu dan garfu, kemudian dia meminta pinggan-pinggan kami, dan dia yang mengisikan nasi ke dalamnya. Sehinggalah dilihatnya semua orang sudah ada makanan barulah dia berhenti meminta pinggan. Sepatutnya dia lah yang dilayani tetapi sudah terbalik pula, dia lah orang yang melayan kami semua termasuk AJK-AJK masjid yang turut serta. Masya Allah.

Yang mengejutkan, saya lihat dia hanya mengisikan pinggannya dengan potongan-potongan buah tembikai, nasi arab sebutir pun dia tidak menjamahnya. Saya lihat Ustaz Shah sudah berhenti berborak dengan Sheikh dan berborak pula dengan orang-orang masjid. Ini peluang yang baik untuk saya memulakan interaksi dengan Sheikh Raed Solah. Saya memulakan...."Ya Sheikh, la ta'kul arruz?" translation: "ya Sheikh, hang tak makan nasi ke?"(translation kasar :D ) beliau menjawab, "La akaltu ba'dal asr.""cek tak makan lepas asar." saya mengangguk faham. Tak tahu nak cakap apa lagi sebenarnya, berbekalkan dengan ketidak fasihan sangat dalam berbahasa arab, agak segan sebenarnya. Kemudian saya menyambung lagi dengan memperkenalkan nama, kemudian saya bertanya beliau tentang makanan di Palestin, dalam bahasa arab lah. Setiap kali saya bercakap dengan beliau, beliau akan mendekatkan telinganya kepada saya, tekun beliau mendengar walaupun saya cakap agak tergagap-gagap. Lebih kurang macam ini;

"apa makanan di Palestin?"

"makanan di palestin..?? banyak...antaranya al-maqlubah..."

"al-maqlubah..?"

"ianya nasi....kemudian ayam dan al-basol....ayam, dimasak....al-basol, dimasak...bla,bla,..."

Beliau menerangkan satu persatu, mungkin beliau memahami saya ini tidak lah fasih sangat berbahasa arab. Saya pun mendengar dengan teliti.

"apa tu al-basol?"

"apa makna al-basol? al-basol seperti...seperti..." beliau kelihatan tercari-cari sesuatu.

"onion." jawab seorang lelaki Arab di hadapan saya. Saya difahamkan lelaki itu adalah bodyguard kepada Sheikh Raed Solah, dia ada Blackbelt tau, jangan main-main...hehe.

al-basol = onion :)

"ohh onion" kataku sambil tersenyum kepadanya.

"kemudian dimasukkan minyak zaitun,bla,bla,bla...." panjang lebar Sheikh cerita, ada jugak yang saya tak faham.

"ohh, macam mana dengan roti??"

"roti....roti ada... tapi di Palestin ianya tidak lah semahsyur Al-maqbulah (nasi arab)."

"ohh" baru tahu...ingatkan makanan ruji orang arab adalah roti. :)

Kemudian kami terus bersembang lagi... Alhamdulillah, sangat seronok dapat berbahasa Arab dengan Sheikh Raed Solah, tapi yang peliknya sepanjang bersembang dengan beliau saya tak sentuh langsung isu Palestin, hanya bercakap tentang makanan dan parkara-perkara lain. Rasa macam rugi pun ada, haha.

"Saya ini seorang pelajar, di Ma'ahad al-Ittihad al-Muslimin...Sebuah sekolah di mana Ustaz Shaharuzzaman sedang mengajar di dalamnya. Kami berempat.....InshaAllah kami akan menyambung pelajaran kami di Mesir pada tahun akan datang." kataku kepada beliau.

"Masya Allah!" Beliau tersenyum dan meletakkan tangannya di atas kepala saya. Sambil mengusap.

Saya sedikit terkejut dan merasakan sesuatu yang lain, Alhamdulillah ya Allah. Semoga dengan itu, roh jihad beliau yang kental akan turun mengalir ke dalam tubuh badan saya. Menguatkan semangat saya untuk berjuang di jalan Allah. InshaAllah... Aminn.

"Aku nak jugak!" saya terdengar kata-kata seorang sahabat saya di sebelah. Kata-katanya itu mencuit hati saya. Saya memandang dia sambil tersenyum. Rezeki masing-masing lah, getus hati. Haha. Ketika itu semua orang sudah mahu berangkat pulang, kami pun berdiri. Kami empat orang mengelilingi Sheikh Raed Solah dan meminta beliau untuk mendoakan kejayaan kami.

"Semoga anda semua mendapat keredhaan Allah dan kejayaan di dunia dan di akhirat..." lebih kurang begini doa Sheikh untuk kami, ada panjang lagi dia cakap, tapi saya macam kurang jelas, tak dengar sangat. Tapi tak apa, saya yakin Sheikh mendoakan perkara yang baik untuk kami. Aminn. Selepas itu kami bersalaman sekali lagi dengan Sheikh, dan memeluk beliau. Tidak lupa juga bodyguard-bodyguard dan pengiring beliau yang didatangkan khas dari Palestin.

Semasa semua orang keluar dari restoran tersebut, berlaku satu lagi peristiwa yang agak kelakar. Salah seorang daripada pengiring Sheikh Raed Solah, seorang Doktor, Doktor Hassan namanya kalau tidak silap. Beliau menegur seorang pak cik yang ikut kami dari masjid tadi, pak cik itu menghisap rokok di luar restoran selepas makan. Dr. Hassan menegur beliau dengan menggunakan isyarat tangan, ya lah, kalau cakap bahasa arab mana lah pakcik tu faham,haha. Kami yang melihat peristiwa tersebut tergelak pun ada sebab kelakar tengok muka pakcik itu menahan malu ditegur depan-depan oleh rombongan daripada Palestin. Hanya mampu mengatakan "padan muka" dan doakan yang terbaik sahaja untuk pakcik itu, haha.

Oh lupa pula, jumlah kutipan yang dapat dikutip di Masjid di Teluk Intan itu sebanyak lebih kurang RM3,200. Subhanallah, kutipan tersebut adalah secara spontan atau dalam istilah lain, 'derma kilat'. Semoga Allah menerima segala amalan mereka yang telah mewakafkan harta mereka ke jalan Allah...aminn.

Selepas itu, rombongan Sheikh pun masuk ke dalam MPV Alphard putih untuk menuju ke destinasi mereka yang seterusnya, Kuala Lumpur. Sibuk betul ya Sheikh Raed Solah bila ada dekat Malaysia ini, jadual sentiasa penuh dengan aktiviti. Baguslah, bukannya selalu beliau datang ke Malaysia. Kami memberikan Salam yang terakhir kepada mereka kerana selepas ini kami akan pulang ke asrama, esok ada kelas, tak boleh tidur lambat-lambat.

14 September 2012


Credit photo kepada akhi Azmir Aman Palestin
Sheikh Raed Solah telah kembali ke bumi palestin. Bila ditanya, "Bila lagi nak datang ke Malaysia?" beliau menyatakan mungkin tidak akan kembali semula ke Malaysia. Beliau menantikan kita semua di Al-Aqsa.Ruginya para pencinta Al-Aqsa yang tidak mengambil peluang selama 2 minggu beliau berada di Malaysia. Namun jangan risau, inshaAllah dapat bertemunya lagi, di Al-Quds.

depan kiri,Sheikh Raed Solah,depan kanan Ust. Abdullah Zaik,belakang dari kiri,bodyguard blackbelt,Dr Hassan(kalau tak silap), Dr ??? (tak ingat nama) :)

"Sekarang umat ini menangis kerana melihat Al-Aqsa dihina. Dalam masa terdekat umat ini juga akan menangis, tetapi kita menangis dalam keadaan dahi kita menyentuh lantai Al-Aqsa." mutiara kata dari beliau.

Ya Sheikh, semoga kita akan bertemu kembali, bukan di sini, tetapi di Al-Aqsa. InshaAllah.

"Ya Allah, kau berikanlah kekuatan kepada Al-Aqsa dan penduduknya untuk tetap terus teguh berdiri, kau jatuhkanlah mereka yang berusaha untuk menjatuhkan Al-Aqsa, Kau lah yang berkuasa, Aminn ya Rabb."

p/s : Keputusannya, tetap tidak dapat mengambil gambar bersama Sheikh Raed Solah, agak sedih, dan jealous kepada mereka yang dapat mengambil gambar bersama beliau, tetapi saya mendapat sesuatu yang jauh lebih mahal daripada sekeping gambar. Alhamdulillah :)
Oh, kalau nak dengar nasihat atau ceramah beliau sepanjang berada di Malaysia, bolehlah check di youtube, dekat sini tak ada ya, maaf.

2 comments:

  1. Masya-Allah. Nampaknya rezeki enta dapat bertemu dekat dan bersembang dengan Sheikh.

    Terhibur ana baca entri anta. Teruskan usaha dan semoga berjaya untuk peperiksaan nanti.

    Ana doakan yang terbaik buat enta. Ameen.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...